Yasmin Ismail dilahirkan di Muar, Johor pada 7 Oktober 1972 tetapi dibesarkan dan terus menetap di Kuala Lumpur. Beliau memulakan kerjaya di dalam bidang hartanah dan kemudian kewangan dari 1996 hingga 2006. Walaupun dunia hartanah dan kewangan memberikan beliau kepuasan namun cinta pertama menggamit beliau iaitu dunia kanak-kanak.
Minat terhadap kanak-kanak yang bertunas dari zaman gadis telah mendorong beliau menerajui Tadika Tasnim dari 2007 hingga 2012. Tadika Tasnim berteraskan konsep Montessori dicantum dengan asas Islam. Kerjaya impian ini menghiasi hidup beliau dan meninggalkan banyak kenangan manis dan bermakna. Beliau juga berkesempatan menambah ilmu Montessori di Malaysian Institute of Montessori.
Ibu kepada lapan orang putera dan puteri ini ialah seorang pembaca tegar dan menyimpan impian untuk berkongsi pengalaman hidup yang beliau kutip. Maka pada 2005 beliau berpeluang berkongsi liku-liku perjalanan beliau sebagai penulis sumbangan dalam buku 'Menyusu Si Permata Hati' terbitan PTS.
Setelah 6 tahun menjadi ibu sepenuh masa, beliau telah menyertai kursus terjemahan intensif di Institut Terjemahan dan Buku Malaysia dan berjaya menamatkan sijil dengan keputusan yang cemerlang. Detik kegembiraan itu telah membongkar semula cinta beliau kepada penulisan dan alhamdullilah naskah kecil yang terhasil ini menggabungkan pengamatan dari kaca mata beliau tentang kepentingan menyantuni kanak-kanak dengan asas akhlak karimah dan aktiviti-aktiviti permulaan Montessori.
No comments:
Post a Comment